Begitulah kisah sebiji gula. Kehadirannya dalam tubuh manusia penting bagi membekalkan tenaga. Namun jika arasnya berlebihan, maka ia akan memberi kesan buruk pula. Banyak benda dalam dunia ini, jika diambil sedikit memberi manfaat. Jika diambil dalam kuantiti yang banyak, mudharat pula mengambil tempat.
Sebab itu orang kata, hidup kita ini biar bersederhana. Bersederhana dalam pertuturan, makan minum, berhibur dan sebagainya.
Sederhana dalam bertutur.
Bertutur adalah satu nikmat yang Allah turunkan bagi manusia. Kerana dengan bertuturlah manusia berkasih sayang. Namun begitu, berapa ramai yang mengambil ringan akan soal bertutur ini. Mulutnya bebas memperkatakan apa yang dia suka. Lebih 1400 tahun dahulu, Nabi Muhammad s.a.w telah pun memperingatkan kita akan soal ini. Sabda Baginda s.a.w yang bermaksud:
"Barangsiapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat, maka hendaklah ia berkata baik atau diam"(Riwayat Bukhari)
Seringkali pertuturan yang tidak didahulukan dengan berfikir membawa kepada perselisihan dan keretakan pada hubungan persaudaraan. Bahkan ia boleh membawa kepada kemurkaan Allah apabila kita mengatakan sesuatu yang tidak disukaiNya seperti mengumpat, membuka aib dan memandang rendah kepada orang lain.
Suka saya berkongsi peringatan yang diberikan Ustazah Nuraslina, isteri kepada Ustaz Zaharuddin Abdul Rahman. Katanya,
"Antara langkah awal untuk memperbaiki akhlak diri ialah dengan belajar kaifiat 'menundukkan pandangan' terhadap kekurangan insan lain; menginsafi bahawa segala kesempurnaan adalah milik Tuhan Yang Maha Penyayang."
Pernah saya berbual dengan Dr Balkis, supervisor saya di universiti. Kata Dr, kita ni terlalu banyak bercakap berkenaan hal orang lain. Sehingga terlupa cela yang ada pada diri kita. Berkata tentang hal orang lain ni sebenarnya sangat memenatkan. Ruh kita jadi penat kerana ketika memperkatakan hal orang lain itu, mungkin terselit dicelahnya kata-kata dosa.
Sebelum memperkatakan sesuatu, cuba kita fikir. Perkara yang hendak aku tuturkan ini memberi manfaat kepada orang lain atau tidak. Jika tidak, mengapa hendak diteruskan? Yang memujuk kita agar memperkatakan perkara itu adalah syaitan. Jadi mengapa hendak patuh?
Ambil masa untuk bermuhasabah pertuturan seharian kita. Moga-moga lidah yang dikurniakan Allah ini, menjadi satu jalan untuk menghampirkan kita kepadaNya, bukan mendekatkan diri kita dengan kemurkaanNya!